Menjelang perlawanan El Clasico serumpun antara pasukan Malaysia menentang pasukan Indonesia pada malam ni, kira-kira seramai 1,500 pegawai dan anggota polis akan bertugas menjaga keselamatan dan lalu lintas pada hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perkara ini telah disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur iaitu Datuk Seri Mazlan Lazim dan anggota tersebut akan memulakan tugasan mereka secara berperingkat mulai pukul 1.00 tengah hari.
Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan bahawa kesemua tiket untuk perlawanan malam ini telah pun habis terjual. Perlawanan pada malam ini dijangka akan berlangsung secara sengit dan dijangkakan para penonton akan mencecah sehingga tidak kurang 85,000 penyokong termasuk 6,500 dari Indonesia yang akan turut hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Melalui sidang media yang diadakan semalam, Mazlan turut mengingatkan agar para penyokong bagi kedua-dua pasukan tidak bertindak melakukan sebarang provokasi sepanjang perlawanan berlangsung.
“Polis akan mengambil tindakan keras bergantung kepada kesalahan yang dilakukan,” katanya sambil menggesa mereka supaya bertimbang rasa dan menjaga tingkah laku agar perlawanan berjalan dengan lancar.
Mazlan turut memberitahu antara barangan yang dilarang untuk dibawa masuk ke dalam stadium ialah mercun, pen laser, sebarang senjata dan minuman keras. Orang ramai turut dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan dan tindakan menunda akan diambil bagi mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas.