Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini memberikan sedikit kelegaan buat sebahagian rakyat Malaysia. Hal ini kerana, insentif dan inisiatif yang diumumkan dapat membantu meringankan beban bagi rakyat di negara ini.
Selain daripada pakej bantuan tunai melalui BPR dan BKC, insentif berkenaan dengan pekerjaan juga diumumkan bagi membantu mereka yang ingin mencari pekerjaan ataupun yang telah kehilangan pekerjaan. Berikut merupakan antara insentif yang boleh dimohon bagi mereka yang berkaitan.
Senarai Bantuan Pekerjaan
1. Elaun Mencari Pekerjaan
Para graduan yang sedang mencari pekerjaan pastinya dapat menarik nafas lega atas inisiatif yang diberikan. Kerajaan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO. Elaun ini dapat digunakan terutamanya bagi graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja di sektor tidak formal.
Di dalam inisiatif ini, para graduan perlu mendaftar pada ruang platform MyFutureJobs dan akan menerima elaun sekurang-kurangnya RM300. Selain itu, inisiatif Place and Train dibawah Program Janapreneur juga akan dilaksanakan melalui HRD Corp. Hal ini akan memberikan peluang kepada 30 ribu orang untuk mendapatkan kemahiran dan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan.
2. Penjana Kerjaya 3.0
Program PenjanaKerjaya telah dilanjutkan dan mengurangkan had kelayakan gaji daripada RM1,500 kepada RM1,200 supaya dapat memberi lebih dorongan kepada majikan untuk menggantikan pekerja asing dengan pekerja tempatan.
Program ini telah melibatkan perbelanjaan sebanyak RM170 Juta dan memberikan manfaat kepada lebih 10,600 majikan dan 75,800 pekerja. Program ini sepatutnya ditamatkan pada akhir bulan Jun namun dilanjutkan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai orang.
3. Bantuan kehilangan Pendapatan
RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan bermula oktober nanti. Data yang digunakan bagi mengesan para pekerja ini adalah melalui data yang diperolehi daripada KWSP atau Perkeso dalam tahun 2021. Bantuan ini dijangka dapat memberikan manfaat kepada 1 juta ahli dan melibatkan implikasi kewangan 500 juta ringgit.
4. Bantuan Golongan Kurang Upaya
Kepada golongan kurang upaya yang telah hilang pekerjaan dan ketiadaan pekerjaan, bantuan kewangan sebanyak RM500 seorang untuk tempoh tiga bulan. Inisiatif ini akan melibatkan RM30 juta dan akan memanfaatkan seramai 20 ribu orang OKU.
Diharapkan dengan inisiatif yang disalurkan dapat membantu kepada mereka yang terjejas ketika pandemik ini.