Pendidikan terlalu berbentuk teori di peringkat sekolah, pengajian tinggi dan institusi kemahiran menjadi antara punca belia kekurangan aspek kemahiran berfikir, menganalisa dan bercakap dalam pelbagai bahasa. – Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran belia di bawah 10 peratus menjelang 2019 disambut baik oleh Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB).
Setiausaha Agung PKPB Mohammad Rizan Hassan berkata, pendidikan terlalu berbentuk teori di peringkat sekolah, pengajian tinggi dan institusi kemahiran menjadi antara punca belia kekurangan aspek kemahiran berfikir, menganalisa, bercakap dalam pelbagai bahasa serta kemahiran interaksi yang lemah.
Berikut LIMA sebab mengapa belia menganggur, menurut Mohammad Rizan:
1. Belia memohon gaji dan faedah tidak realistik;
2. Lemah penguasaan Bahasa Inggeris dan komunikasi ditempat kerja;
3. Memilih perkerjaan serta syarikat;
4. Tiada personaliti dan perwatakan yang meyakinkan; dan
5. Kemahiran yang tidak mencapai keperluan minimum industri
“Masalah pengangguran dalam kalangan belia bukanlah satu isu baharu. Cuma, golongan belia harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka.
“Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu menikmati kesejahteraan hidup sepanjang kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Justeru, PKPB mengesa kerajaan melakukan perubahan drastik terhadap sistem pendidikan akademik dan kemahiran di negara ini yang perlu menekankan aspek kemahiran insaniah.
Pada Jumaat, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman berikrar kerajaan akan berusaha menurunkan kadar pengangguran dikalangan belia dari 10.7 peratus kini melalui peruntukan dalam Belanjawan 2019.