Sebentar tadi kerajaan telah mengumumkan beberapa bantuan untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0). Tindakan ini diambil kerana kes Covid-19 hampir mencecah lima angka pada minggu ini.
Mari kita lihat apa yang telah dijanjikan kerajaan kali ini, dan bagaimana anda boleh memohon bantuan-bantuan ini.
Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan 2.1 bilion ringgit bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR.
1. Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah 2,500 ringgit, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak 500 ringgit dan isi rumah berpendapatan antara 2,501 hingga 5,000 , akan menerima kadar sebanyak 300 ringgit. Golongan bujang pula akan menerima 100 ringgit.
BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak 2.4 bilion ringgit.
2. Hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium. Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan;
Mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50% selama tempoh 6 bulan.
Inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih dari 5 juta peminjam dengan nilai sehingga 30 bilion ringgit.
3. Kerajaan juga akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan 1 bilion ringgit. Melalui skim ini, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.
4. Kerajaan menyarankan supaya agensi dan syarikat Kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan. Pihak MARA akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai 2021. Peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium.
Bagi usahawan MARA yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun 30% ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai 2021.
5. Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah PERKESO selama 1 bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos 1.5 bilion ringgit dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan, ditanggung oleh Kerajaan. Adalah dijangkakan 2.5 juta pekerja dan lebih 200 ribu majikan akan mendapat manfaat.
Majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun 2021. Pada masa yang sama, pekerja juga boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATiH secara percuma yang melibatkan lebih 400 modul dan kursus kemahiran.
Kami akan menulis bentuk bantuan kepada para peniaga pada artikel yang berasingan.
Dapatkan informasi terbaru tentang bantuan kerajaan dan kerja kosong melalui channel kami: https://t.me/blogrojak