Ketika pandemik Covid-19 berlaku, ia memperlihatkan hampir semua urusan penting perlu dilakukan dalam talian. Keadaan ini memaksa kita untuk mempunyai Internet dan peranti yang baik – supaya takdelah tiba-tiba kita tersekat untuk melakukan kerja-kerja penting. Kali ini ada satu bentuk bantuan yang dipercayai dapat membantu kita mengatasi masalah peranti yang bermasalah.
Melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan akan memberikan subsidi sebanyak RM300 kepada isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi membeli telefon pintar atau peranti baharu.
Bantuan itu sekaligus menambahbaik subsidi telefon pintar sebelum ini yang hanya berjumlah RM180, seperti yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021. Ia juga melibatkan peruntukan sehingga RM2 bilion dan dijangka akan mula dilancarkan pada Mei depan.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin – subsidi berkenaan diperkenalkan bagi merapatkan jurang digital di kalangan golongan B40 dan menyokong agenda pendigitalan negara.
Dalam masa sama, beliau juga menyeru syarikat-syarikat telekomunikasi supaya dapat menawarkan pakej internet mampu milik dan meneruskan kuota tambahan.
Tambahnya lagi, perkhidmatan 5G di negara ini dijangka akan beroperasi secara berperingkat bermula pada hujung tahun ini, selaras dengan agenda di bawah Rangka Kerja MyDIGITAL dan Ekonomi Digital Malaysia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut memperuntuk RM3.2 bilion pada tahun ini di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat, bagi menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menyediakan capaian gentian optik ke premis berkaitan.
“Seterusnya, SKMM akan memperkenal program MyBAIKHATI dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif ‘crowdsourcing’ peranti. Program ini akan dimulakan dengan penganjuran kempen kutipan peranti terpakai seperti komputer riba yang akan dibaik pulih dan diagihkan kepada, antara lain Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti.” – Muhyiddin Yassin, petikan dari Berita Harian.
Setakat ini, kami tak tahu lagi bagaimana ia boleh dipohon, tapi kami akan beritahu korang dari masa ke semasa. Apa-apa pun, kami rasa ia adalah satu usaha baik dari kerajaan untuk bantu mereka yang kurang berkemampuan membeli telefon bimbit.
Usaha yg Baik daripada kerajaan..tq perdana menteri
tq pm..terima kasih atas usaha menyenangkan rakyat…