Penjaga gol negara iaitu Khairul Azhan Khalid menganggap bahawa kemunculannya semula bersama skuad kebangsaan selaku pilihan utama umpama ‘mati hidup semula’. Penjaga gol pasukan negeri Selangor itu adalah merupakan salah satu watak terpenting dalam mencorakkan kemenangan 2-1 pasukan Malaysia ke atas Thailan di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.
Berdasarkan kepada prestasi semasa, pemain yang mempunyai ketinggian 182sm itu boleh dilabelkan sebagai pilihan utama untuk sekali lagi diberi mandat untuk mengemudi pintu gol negara menjelang pertemuan dengan pasukan Indonesia di venue yang sama pada esok hari. Menyedari akan perhatian yang diberikan, Khairul Azhan mengakui bahawa dia sudah belajar untuk tidak bermegah dan terleka dengan pujian ketika bersama skuad kebangsaan.
“Saya pernah takut dengan pujian seperti di laman sosial peribadi. Kadang-kadang ia boleh membuatkan pemain bersikap meninggi diri atau menjatuhkan prestasi pemain,”katanya ketika dalam sesi latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kali terakhir pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu dipanggil bersama skuad negara adalah ketika era Nelo Vingada selaku ketua jurulatih. Sehubungan dengan itu, dia bertekad untuk membalas segala kepercayaan yang telah diberikan dengan memberikan aksi terbaiknya semasa di atas padang.