Konflik Israel-Palestin: Seluruh Negara Islam Digesa Anjur Protes Sokong Palestin
DOHA: Negara Islam di seluruh dunia digesa untuk mengadakan protes bagi menyokong rakyat Palestin dan negara jirannya menyertai perjuangan menentang Israel, Jumaat ini.
Bekas Ketua Hamas yang kini mengetuai pejabat diaspora kumpulan pejuang itu, Khaled Meshaal, dalam kenyataan menggesa supaya turun ke dataran dan jalanan dunia Arab serta Islam, Jumaat ini.
Beliau yang berpangkalan di Qatar berkata, kerajaan dan rakyat Jordan, Syria, Lubnan dan Mesir mempunyai tugas lebih besar untuk menyokong rakyat Palestin.
“Semua saudara di Jordan… inilah detik kebenaran dan kedudukannya paling hampir dengan anda. Kamu semua tahu tanggungjawab anda.’
“Semua ulama yang mengajar untuk berjihad serta semua yang mengajar dan belajar, ini adalah saat untuk mengaplikasikannya,” katanya.
Gesaan itu dibuat ketika Israel berikrar meningkatkan tindak balasnya terhadap serangan Hamas, selepas jet pejuang zionis menyerang lebih 200 sasaran di bandar Gaza, semalaman.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 950 terkorban, manakala 5,000 lagi cedera dalam serangan di kawasan terbabit.
Jordan dan Lubnan menjadi tempat perlindungan kepada sebilangan terbesar pelarian Palestin.
Sabtu lalu, kumpulan lelaki bersenjata Hamas menyerang selatan Israel dalam serangan kumpulan pejuang Palestin paling dahsyat dalam sejarah zionis. – REUTERS
SUMBER: Berita Harian (Konflik Israel-Palestin)
Anda Mungkin Berminat:
- Konflik Israel-Palestin : Hamas Sahkan 2,000 Tentera Terbabit Operasi Terhadap Israel
- Konflik Israel-Palestin : Masjid dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia musnah
- Konflik Israel-Palestin : Datuk Bandar Israel Antara Yang Terbunuh!
Konflik Israel-Palestin
KUALA LUMPUR: Pejuang pembebasan Al-Quds dan Briged Al-Qassam Hamas mengisytiharkan serangan balas terhadap pencerobohan rejim Israel di Palestin.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Angkatan Tentera Penentang dan Briged Al-Qassam, Muhammad Al-Deif berkata Israel tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan, sehingga mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa dan membunuh ratusan warga Palestin.
“Kami telah memberi amaran kepada pihak Israel sebelum ini. Mereka menyerang Morabitun (Jawatankuasa Penjaga al-Aqsa) dan penjaga-penjaga Masjid al-Aqsa, dan kami telah beri amaran supaya mereka hentikan tindakan itu. Israel berani mencemarkan kesucian Masjid al-Aqsa.
“Ratusan warga Palestin cedera dan mati syahid tahun ini akibat jenayah yang dilakukan oleh penceroboh Israel.
“Pada masa yang sama, jenayah oleh penceroboh itu berterusan dengan melancarkan pengepungan ke atas Semenanjung Gaza,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kumpulan pembebasan Palestin membuat keputusan untuk menoktahkan segala jenayah yang dilakukan oleh penceroboh Israel, dan mengumumkan bermulanya operasi Al-Aqsa (Operation Al-Aqsa Flood).
Operasi tersebut akan menyasarkan lapangan terbang dan kubu tentera, dengan menggunakan lebih 5,000 peluru berpandu.
Muhammad Al-Deif turut menyeru semua pejuang pembebasan untuk melancarkan serangan ke atas pendudukan Israel dengan apa cara dan peralatan yang ada, sekali gus menamatkan koordinasi keselamatan dengan pihak Israel.
Ujarnya, rakyat al-Quds perlu bangkit menyokong Masjid Al-Aqsa dengan mengusir tentera penceroboh dan pendudukan haram dari Al-Quds dan memusnahkan tembok-tembok pemisah.
“Kepada rakyat al-Quds. bangkitlah menyokong Masjid Al-Aqsa. Usir angkatan penceroboh dan pendudukan haram dari Al-Quds. Musnahkan tembok-tembok pemisah.
“Kepada penduduk di kawasan diceroboh, nyalakan api di kaki penceroboh dan biar musuh faham bahawa operasi al-Aqsa lebih besar daripada apa yang mereka jangkakan.
“Hari ini, semua orang yang ada senjata perlu keluarkannya. Ini masa untuk mengangkat senjata. Setiap daripada kami perlu keluarkan trak, kereta atau kapak. Hari ini, sejarah membuka lembaran yang paling cerah dan mulia,” katanya lagi.
Muhammad Al-Deif berkata Inilah masanya untuk semua warga Arab dan kekuatan Islam bersatu, mengusir penceroboh dari tanah suci dan tanahair Palestin.
“Kepada umat Arab dan Islam, beraraklah ke Palestin dan jangan biarkan sempadan, peraturan atau sekatan menghalang anda daripada mengecapi kemulian berjihad dan menyertai pembebasan Al-Aqsa,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan operasi ini sebagai yang terakhir kepada sebuah revolusi dan pengakhiran kepada pencerobohan oleh rejim Zionis.
SUMBER: Awani (Konflik Israel-Palestin)
Penafian
Kami bukanlah wakil mana-mana agensi kerajaan. Ini merupakan maklumat yang kami perolehi daripada website rasmi kerajaan ataupun berita. Mohon rujuk pautan asal untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap.
Maklumat yang kami sampaikan berdasarkan info semasa atau bantuan tahunan berulang.