Frank Lampard telah memulakan semboyan perang dengan bekas pengurusnya terdahulu iaitu Jose Mourinho dengan menyatakan bahawa dia sama sekali tidak akan menjadi pengurus Tottenham Hotspur walau apa yang berlaku. Ia merupakan ikrar yang sama dilafazkan oleh Jose Mourinho beberapa tahun lalu ketika ditanya tentang spekulasi dia akan ke kelab seteru sebandar di Londo iaitu Tottenham.
Beberapa hari lalu Jose Mourinho telah menjawab persoalan oleh wartawan yang bertanya kenapa dia mengubah pendirian yang dilafazkannya pada beberapa tahun yang lalu. Pada tahun 2015, Mourinho pernah mendedahkan bahawa Tottenham Hotspur pernah cuba untuk memancingnya namun ketika itu Jose Mourinho menyatakan bahawa dia tidak akan sama sekali menguruskan Tottenham Hotspur kerana perseteruan kelab tersebut dengan Chelsea.
Mourinho telah menegaskan bahawa sebab utamanya adalah cinta dan sayangnya hanyalah kepada pasukan Chelsea dan para penyokongnya. Walaubagaimanapun, pada hari selasa lalu Jose Mourinho telah dilantik sebagai pengurus baru Tottenham Hotspur bagi menggantikan Mauricio Pochettino.
Melalui sidang media Mourinho sebelum perlawanan hujung minggu ini, Jose Mourinho telah diajukan soalan cepu emas dan ditanya kenapa dia mengubah pendiriannya. Mourinho menyatakan bahawa kenyataan itu dibuat sebelum dia dipecat oleh Chelsea. Tottenham Hotspur merupakan kelab seteru kedua selain daripada Manchester United yang pernah diuruskan oleh Jose Mourinho di dalam kancah Liga Perdana Inggeris.
Frank Lampard yang merupakan pengurus Chelsea telah memberikan respon kepada kenyataan Mourinho itu dan dia menyatakan bahawa jika dia di tempat Jose Mourinho dia tidak akan sesekali berubah pendirian. Oleh itu Frank Lampard yakin bahawa dia tidak akan menguruskan Tottenham Hotspur walaupun apa yang berlaku.
“Tanpa berniat tidak menghormati Tottenham Hotspur, saya tidak akan sama sekali menguruskan pasukan mereka. Dan kamu boleh memainkan semula rakaman temuramah ini pada 10 tahun akan datang sekiranya saya berubah pendirian. Namun perkara itu tidak akan sama sekali.”
Pasukan Chelsea akan bertemu dengan Manchester City dalam aksi EPL pada minggu ini.