PA Ebit Lew banyak songeh, ini kritikan Nadir Al Nuri kepada Ebit Lew

Isu berkenaan misi kemanusiaan Ustaz Ebit Lew menjadi tular di media sosial setelah seorang Caprice mula melakukan beberapa siri Live di Instagram. Dia banyak mempersoalkan isu-isu berkaitan misi Ust Ebit Lew dan dikatakan akan mendedahkan sesuatu yang gempar pada malam ini (21/7/2021). Cuma, tindakan Caprice telah menimbulkan banyak kritikan dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga dia mengambil keputusan untuk meminta maaf beberapa hari yang lepas.

Keadaan ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya, adakah dia akan meneruskan siaran pendedahannya pada malam ini atau tidak? Menurut sumber yang kami hubungi, dia dikatakan akan meneruskan hajat untuk melakukan LIVE di Instagram berkaitan isu ini. Belum sempat dia dedahkan isu panas ini, seorang pengasas NGO yang banyak membantu rakyat Palestin telah mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku ketika misi bantuan kemanusiaan Ust Ebit Lew berlangsung. Berikut merupakan penjelasan dari saudara Nadir;

Assalamualaikum W.B.T, di hari yang besar dan mulia ini bagi seluruh Umat Islam yang menyambutnya saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Aidiladha. Sebagai seorang insan yang lemah dan kerdil tertarik untuk berkongsi beberapa perkara setelah menerima pelbagai persoalan, cacian dan fitnah daripada kalangan mereka-mereka yang tidak mengenali saya.

Saya tidaklah mewakili mana-mana pihak melainkan ianya adalah dari tinta pengalaman peribadi sendiri yang terlibat secara langsung dan tidak langsung berkaitan misi ke bumi Gaza oleh kru dan tim Ebit Lew (EL).

Walaupun saya jauh berkelana di bumi Gaza dan tidak mengenali EL secara dekat, saya telah mengikuti semua cerita-cerita kebajikan EL di Malaysia dan menjadikannya inspirasi untuk mendapatkan semangat terus bekerja dan berbakti di bumi Gaza ini khususnya di waktu-waktu tertekan dengan cabaran kerja-kerja NGO, urusan pengajian sarjana muda kedua dalam bidang Syariah dan mengurus keluarga. 

Walaupun ada suara kecil hati pernah terdetik untuk berehat dari dunia kemanusiaan ini yang dikecimpung setiap hari setiap jam sejak 2013 di sini, alhamdulillah hasil inspirasi daripada orang-orang hebat dan sokongan rakyat saya gagahkan diri terus berbakti dan bekerja tanpa menoleh kebelakang.

Secara peribadai saya tidak pernah menyimpan perasaan dengki, iri hati apalagi memperlekehkan perjuangan seseorang yang umum mengetahui adalah seorang insan hebat dan terkenal di bumi Malaysia. Penulisan ini hanyalah tidak lain sebagai teguran kasih-sayang, iktibar dan pedoman untuk mendidik terutama bagi diri saya, tim EL dan semua yang terlibat. Saya pasti EL dan timnya sebagai contoh dan pedoman kepada masyarakat yang sentiasa mengajak kepada berkasih-sayang dan persaudaraan mampu menerima nasihat dan pandangan daripada rakan seagamanya.

Terlebih dahulu saya juga meminta maaf sekiranya kata-kata saya sebelum ini di salah ertikan atau ditafsirkan oleh pihak media, tim EL dan masyarat sebagai unsur-unsur dengki atau mengejek, walau jauh sekali di lubuk hati saya berfikir sedemikian. Di sini saya ingin membuat beberapa coretan berkaitan Misi Bantuan EL ke bumi Gaza dan Misi Tim EL ke bumi Gaza. Nampak serupa tapi tidak sama.

Perkara pertama yang ingin saya kongsikan adalah berkaitan Misi bantuan EL ke Bumi Gaza, selepas mendengar perkhabaran ini, sayalah orang yang paling gembira kerana tidak sabar untuk berkhidmat untuk menjayakan misi bantuan beliau ini terutamanya apabila saya di hubungi oleh individu bernama Ustaz Zul dari tim EL yang bertanya bagaimana mahu mengirim bantuan ke Gaza. Dengan segera saya terus menghentikan sementara kerja-kerja harian saya untuk mengutamakan penyediaan kertas kerja pek makanan secara terperinci dan menghantar semula kepada individu dari tim EL.

Selepas beberapa hari berlalu dan tiada sebarang maklum balas atau respon daripada tim EL maka saya meneruskan kerja-kerja bantuan dari NGO lain dengan mengandaikan tim EL terlalu sibuk dengan bantuan khidmat di Malaysia disebabkan PKP.

Selang beberapa hari saya di kejutkan oleh kawan-kawan dan media berkaitan tim EL ingin membuat misi masuk ke Gaza dan sudah berada di Cairo Mesir, hati kegembiraan saya terpancar lagi walaupun ada rasa tertanya kerana sukarnya misi ini untuk berjaya kerana situasi PERANG. Sehinggalah saya mengemaskini status di paparan facebook peribadi saya dengan mengalu-alukan kedatangan tim EL dan berdoa semoga misi ini berjaya walaupun ianya agak sukar disamping BERJANJI akan menjadi ORANG PERTAMA menyambut Tim EL di sempadan bumi Gaza dan akhirnya saya mengotakan janji saya.

Semasa tim EL di Cairo, saya cuba beberapa kali untuk berhubung dengan tim EL untuk mendapatkan perkhabaran tetapi tiada sebarang maklum balas. Sehingga rakyat Malaysia dan media menjadi risau tentang kehilangan ‘Hero Malaya’. Selama sebulan tim EL terus sepi, timbul pelbagai spekulasi keselamatan terancam dan sebagainya, walaupun hakikat ia jauh dari kebenaran.

Tim EL dimaklumkan rakan-rakan di Cairo masih di bilik hotel, boleh pergi bersiar-siar di kawasan pelancongan Husein dan melawat piramid (seperti post oleh PAnya) sambil menunggu usaha agar diberi kebenaran memasuki ke Gaza.


Alangkah baiknya ketika itu dinaikkan post dan ditenangkan hati jutaan pembaca bahawa keadaan mereka baik dan urusan masuk ke Gaza tersekat dan mereka perlu terus menanti keizinan? Senyap mereka dan soalan bertubi-tubi netizen di puluhan sesi LIVE membuatkan saya mengambil tanggungjawab untuk menulis post menasihati mereka supaya memaklumkan kepada pembaca tentang keadaan mereka, sehingga akhirnya dikeluarkan post oleh EL bahawa mereka selamat dan tidak ada bahaya apa pun ke atas mereka.

Walaupun telah mendapat liputan luas media tentang perjalanan EL ke Gaza, seperti dijangka usaha mereka terbantut apabila keizinan tidak diberikan oleh pihak Mesir.

Malah apabila Director General Kementerian Luar bertanya kepada saya tentang Tim EL (individu yang bertanya, Encik Mahmoud Al-Madhoun adalah individu yang sama yang memberikan tim EL sijil Duta Muhibbah, sijil yang diberikan kepada SEMUA ahli rombongan dari semua NGO yang masuk ke Gaza untuk memberi bantuan sebagai penghargaan), saya memberikan jawapan positif mengalukan kehadiran mereka dan mencadangkan Kementerian Luar menunjukkan kepada mereka projek apa yang sebaiknya dilaksanakan dan membawa isu Palestin ke persada memandangkan EL mempunya ramai pengikut di media sosial.

Hubungan saya dengan Encik Mahmoud sangat baik dan hampir setiap bulan pasca perang kami bertemu untuk membincangkan projek-projek paling utama dan prioriti untuk dilaksanakan di Gaza. Begitu juga dengan Timbalan Menteri Pembangunan Soisal Dr Ghazi, Ketua JK Belia dan Budaya Encik Ahmad Muhaisin dan wakil Kementerian Kesihatan Dr Ashraf yang ada dalam gambar ini, kami jumpa setiap bulan untuk berbincang.

Sebelum ini saya pernah memaklumkan kepada media bahawa cara terbaik untuk memberi bantuan kedalam bumi Gaza adalah dengan pembelian barangan keperluan di dalam pasaran tempatan di Gaza, kerana terdapat banyak kebaikan yang boleh dimanfaatkan terus kepada masyarakat yang memerlukan. Telah banyak pengalaman-pengalaman NGO seluruh dunia cuba untuk memasuki Gaza dengan membawa barangan-barangan keperluan sehingga tersadai dan terbiar di sempadan Gaza dalam bentuk perubatan dan makanan sehingga tamat tempoh dan tidak boleh digunakan. Akhirnya berlaku pembaziran yang amat dahsyat. Perkara ini telah menjadi pengajaran kepada semua NGO-NGO bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Amat terkejut bila mana saya melihat di media sosial pembelian barangan bantuan 4 lori yang dibeli di Mesir untuk di bawa masuk ke Gaza. Terpanggil saya untuk memberi teguran manja sedikit berkaitan bantuan yang ingin disampaikan ke Gaza, tetapi disalah ertikan dan ditafsirkan oleh sebahagian pihak bahawa teguran itu bermakna saya mahukan bantuan sampai melalui saya. Sekiranya teguran kecil tidak dapat diterima bagaimana umat kita ingin bersatu untuk menjayakan misi lagi besar masa akan datang?

Persoalan lain pula timbul di mata masyarakat bagaimana barang-barang yang sudah di beli di Cairo tersebut? Adakah bantuan ini sudah berjaya masuk? Setahu saya ia masih lagi tersadai di Mesir beserta bantuan-bantuan lain yang tidak dibenarkan masuk lagi pun. Bukankah ia satu pembaziran? Saya menyeru pihak tim EL untuk berani tampil memberi pencerahan dan penjelasan supaya tidak timbulnya bibit-bibit fitnah lain. Dengan mem’block’ atau membuang komen-komen pertanyaan tersebut di media sosial kalian tidak dapat menyelesaikan masalah pokok ini kerana tujuan asal misi adalah untuk membawa masuk bantuan tersebut.

Umum mengetahui bahawa dalam puluhan LIVE yang saya dijemput berkongsi pasca perang, penonton mendesak bertanya tentang status EL dan timnya yang tidak mengambil tanggungjawab memaklumkan keadaan mereka sendiri. Berpuluh kali saya terpaksa menjawab bahawa mereka belum masuk, hendak masuk ke Gaza susah dan akhirnya saya sebut ‘hanya wali saja yang dapat masuk ke Gaza’, dengan makna hebat betullah orang yang dapat masuk ke Gaza ketika ini, dan alhamdulillah, dengan takdir Allah setelah penantian panjang tim EL berjaya juga masuk ke Gaza.

 Gurauan manja ini bukan lah untuk saya mengejek atau menyindir, jauh dari lubuk hati saya untuk berfikiran sedemikian, tetapi ianya diinterpretasi dengan tafsiran dengan nada yang berbeza dan dipotong dari video panjang. Ia seolah kita berkata kepada rakan, kau memang power gila kalau dapat angkat batu gedabak ini dan hadir dalam bentuk gurauan, bukan mengejek. Apapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada semua yang terasa.

Sesiapa yang mengikuti paparan facebook saya pasti pernah melihat posting berkaitan saya menanti ketibaan tim EL kedalam Gaza. Apabila saya mendengar berita daripada Kementerian Luar di Gaza memaklumkan yang tim EL telah sampai ke sempadan Rafah di Mesir, lantas saya bergegas ke sempadan untuk menyambutnya bersama anak saya Naeem. Jam ketika itu menunjukkan pukul 11 malam dan kami baru selesai seharian berprogram tetapi digagahkan juga untuk bangun dengan penuh keterujaan manyambut kedatangan orang Malaysia ke negeri ini setelah dua tahun tidak melihat wajah dari negara sendiri dengan harapan dapat berkhidmat, membantu memudahkan urusan atau sekurangnya beramah mesra untuk mengubati kerinduan berjumpa orang Melayu.

Kami sampai dan mendapati wakil Kementerian Luar yang memang bertugas di dewan VIP telah pun berada di sana, selainnya dewan kosong kerana sudah lewat malam. Tak lama selepas itu dua orang wakil Persatuan Bulan Sabit Merah pula sampai. Kami berlima duduk bersama dan wakil Kementerian Luar seronok bercerita pengalamannya ke Malaysia dan bagaimana layanan sangat baik diberikan kepadanya oleh orang kita (walaupun dalam tempoh dua minggu di Malaysia dia tak dapat menyesuaikan diri dengan makanan pedas kita!)

Jam 2am, kami dimaklumkan rombongan sudah melepasi sempadan Rafah sebelah Mesir dan akan masuk ke Gaza. Perasaan ketika itu seronok bukan kepalang. Saya ditolak wakil Kementerian Luar berada di barisan hadapan menyambut rombongan dan apabila turun dari bas, sebahagian tim bersalam sedangkan separuh lagi termasuk EL berjalan jauh daripada saya. Tidak ada sepatah kata pun dituturkan oleh seluruh tim kepada saya melainkan ‘bodyguard’nya yang terus menegur dan membisik ke telinga saya, awak orang Malaysia kan, jangan buat LIVE ya, kita dah ada Astro di sini.

Pelik dan terkejut, ketika itu saya menyedari kehadiran saya tidak disenangi. Saya berjalan di belakang rombongan, cuba menjauhkan diri tetapi apabila EL diminta duduk di kerusi VIP, wakil Kementerian Luar memanggil saya dan meminta saya duduk di sebelahnya. Saya menolak kerana tidak mahu menimbulkan suasana tidak selesa tetapi setelah dipaksa, saya akur.

EL yang duduk di sebelah langsung tak menegur, tak menghulurkan tangan untuk bersalam dan barangkali kerana kepenatan tergesa-gesa untuk bangun semula. Mereka bangun untuk solat dan saya memerhatikan dari jauh, cuba memahami apa yang sedang berlaku. Beberapa keping gambar diambil untuk memaklumkan kepada pihak berwajib bahawa mereka telah selamat sampai, tiba-tiba ‘bodyguard’ yang sama datang lagi.

“Encik tolong padam semua gambar dan video yang diambil tadi,” beliau mengarahkan. Ketika itu saya agak terkilan dengan kata-kata tersebut. Saya tidak minta dihormati, saya tidak minta dipuji, cita-cita saya hanyalah untuk membantu dah berkhidmat sedaya mungkin menjayakan misi Tim EL atau paling kurang dapat bersalam dengan beliau! Tetapi saya di tegur dengan agak keras oleh wakil Tim EL sehinggalah saya melenting lalu beliau meminta maaf dan menyebutkan hanya menurut arahan sahaja.

Selepas itu, saya berundur dan hanya melihat dari jauh. Wakil Menteri Luar datang berjumpa dan berkata, maaflah, saya pun tak tahu sampai begitu sekali ada perselisihan di antara kalian. Saya menjawab kepadanya, tak ada perselisihan pun tapi mungkin ada tujuan peribadi mereka berbuat begitu. Setelah mereka selamat menaiki kenderaan ke tempat penginapan, saya kembali ke rumah.

Saya tidak menyangka bahawa dengan sepatah ayat yang disalah tafsir sebagaimana disebutkan PA EL saya langsung tak diberi peluang untuk bercakap dengan tim dan EL dan yang disebutkan kepada saya oleh seluruh tim hanya dua ayat sahaja, jangan buat LIVE dan delete semua gambar. Berbohonglah saya jika tidak mengaku terasa dengan persoalan adakah ini didikan ustaz sama yang ajar kita mengikut sunnah, saling memaafkan, Allah sayang? Adakah di belakang kamera sikap kita berbeza dengan lemah-lembut yang dilihat orang ramai? Saya masih belum dapat menjawab persoalan ini, atau barangkali ayat yang disalah-tafsirkan langsung tidak boleh dimaafkan sehingga saya terlalu jijik untuk dipandang. Kalau ya pun saya terlalu hina anggaplah saya seperti madhu’u yang selalu kalian santuni di lorong gelap KL atau adik-adik motor dan nasihatkanlah saya!


Semenjak peristiwa itu saya langsung tak mengambil tahu perkembangan mereka walaupun dijemput Kementerian Luar meraikan kehadiran mereka apabila mereka diberikan sijil Duta Muhibbah. Saya malas mengambil tahu apa keperluan dibuka ‘rumah anak yatim’ sedangkan faktanya di seluruh Gaza ada 20,000 anak yatim tetapi hanya ada satu rumah anak yatim di sini, Ma’ahad Al-Amal yang menempatkan hanya 120 anak yatim kerana budaya di sini yang tidak membenarkan anak-anak yatim tinggal di rumah anak yatim malah dijaga oleh keluarga kembangan.

UNTUK CERITA LANJUT, SILA IKUTI TELEGRAM SAUDARA NADIR: https://t.me/nadiralnuri