Pengeluaran Khas KWSP 2.0, “Beri Kami Peluang Terakhir”

Pengeluaran Khas KWSP 2.0, "Beri Kami Peluang Terakhir"

Kuala Lumpur: Kebenaran untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih menjadi perbincangan ‘hangat’ dalam kalangan rakyat yang kebanyakannya meminta kerajaan memberi peluang terakhir pengeluaran khas daripada simpanan tabung persaraan itu.

Walaupun berdasarkan data didapati seramai 6.1 juta pencarum hanya mempunyai simpanan di bawah RM10,000 namun rata-rata mereka menaruh harapan supaya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran khas KWSP untuk menampung kelangsungan hidup mereka yang masih lagi terjejas.

Bagi pemandu p-hailing, Yosselendra Daimi Akbar, 42, berkata, dia amat bersetuju sekiranya kerajaan memberi kebenaran pengeluaran KWSP sekali lagi.

“Kami bukan saja-saja mohon kerajaan untuk dibenarkan pengeluaran KWSP dan apa yang berlaku pada saya sendiri di usia 40-an memang sukar untuk mencari pekerjaan yang tetap.

“Disebabkan faktor usia, mendorong saya untuk bekerja sendiri yang mana saya memilih untuk bekerja menghantar barang dan perlu bekerja lebih masa antara 12 ke 16 jam sehari bagi memperolehi pendapatan yang lebih.

“Pendapatan itu untuk saya guna bukan hanya untuk kelangsungan hidup saya dan keluarga, malah untuk membayar hutang yang ada.

“Oleh itu, jika dibenarkan pengeluaran, saya akan gunakannya sebagai modal untuk memulakan perniagaan secara kecilan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang,” katanya yang mencarum KWSP dari 1999 hingga 2010.

Turut berharap supaya simpanan KWSP dapat dikeluarkan, peniaga, Abdul Hadi Ibrahim, 38, berkata dia memang memerlukan tunai untuk membuat pusingan modal berniaga.

“Saya sebelum ini bekerja sendiri sebagai jurugambar acara dan amat terkesan dengan Covid-19 sehingga tiada pendapatan.

“Saya dan keluarga bertahan tanpa ada aliran tunai selama tiga tahun dan saya berniaga kecil-kecilan untuk menampung keperluan keluarga.

“Jadi, saya memang bersetuju dan begitu mengharapkan supaya ada peluang sekali lagi pengeluaran simpanan KWSP ini sebagai penyelesaian jangka pendek tanpa perlu kami membuat sebarang pinjaman untuk pusingan modal perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Ekamulyasari Hamidi, 33 berkata, keadaan kos sara hidup yang naik mendadak dan peningkatan ansuran pinjaman menyebabkan gaji sedia ada tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan.

“Ramai sekarang yang bergelut dengan kos sara hidup tinggi dan dengan kadar gaji yang statik tidak naik, ditambah komitmen faedah bank naik serta yuran taska, memang amat membebankan kami terutama yang tinggal di bandar.



“Saya rasa ramai lagi yang memang memerlukan sokongan tunai seperti simpanan KWSP ini supaya rakyat tidak terputus perbelanjaan wang tunai.

“Pada pendapat saya, kerajaan juga perlu memikirkan bagaimana syarikat besar di negara ini dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan sambilan kepada mereka yang memerlukan untuk tambah pendapatan, lebih-lebih lagi suri rumah yang hendak membantu suami mereka menghadapi cabaran kos sara hidup di bandar,” katanya. – HarianMetro


Penafian 

Kami bukanlah wakil mana-mana agensi kerajaan. Ini merupakan maklumat yang kami perolehi daripada website rasmi kerajaan ataupun berita. Mohon rujuk pautan asal untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap.

Maklumat yang kami sampaikan berdasarkan info semasa atau bantuan tahunan berulang.