Pengeluaran Khas KWSP Dibuka Tahun 2024

Pengeluaran Khas KWSP Dibuka Tahun 2024 ~ Ini Penjelasannya!

Keputusan kerajaan untuk melaksanakan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Akaun 3 bermula April 2024 dilihat memberi kelegaan kepada rakyat khususnya kepada mereka yang begitu memerlukan.

Akaun 3 ini akan berfungsi sebagai akaun simpanan ketika kecemasan yang membolehkan pencarum untuk mengeluarkan sejumlah wang ketika saat penting seperti semasa musim pandemik, namun perinciannya akan diumumkan selepas pengumuman dividen KWSP pada Februari depan.

Melihat kepada keadaan itu, pelaksanaan akaun kecemasan itu merupakan satu usaha yang memberi kelebihan kepada rakyat, namun ia tidak ber­makna pencarum perlu bergantung harap kepada akaun berkenaan dan tidak membuat sebarang dana simpanan peribadi.

Dalam konteks ini, ia begitu penting untuk setiap individu memiliki dua jenis simpanan wang iaitu dana kecemasan dan persaraan.

Simpanan kecemasan boleh digunakan ketika mengha­dapi waktu kecemasan dan luar jangka, manakala simpanan persaraan untuk kegunaan selepas bersara apabila seseorang tidak mampu bekerja demi mencari sumber pendapatan.

Anda Mungkin Berminat:

Simpanan KWSP Dana Penting Untuk Bersara

Susulan itu, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, simpanan KWSP merupakan dana penting untuk kegunaan pekerja selepas mereka bersara kelak.

Pengeluaran Khas KWSP Dibuka Tahun 2024 ~ Ini Penjelasannya!
Professor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah di Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (SUIM) – SUMBER GAMBAR SINAR HARIAN

“Kita tidak tahu selama mana akan hidup selepas bersara nanti. Adalah penting untuk kita ketahui dengan kemajuan dunia sains dan teknologi perubatan, umur manusia makin lama ­makin panjang.

“Pemanjangan had usia manusia ini menuntut semua pihak untuk lebih bersiap sedia bagi hadapi segala kemungkinan luar jangka terutamanya daripada aspek kewangan.

“Jadi, adalah penting supaya orang ramai memiliki simpanan waktu kecemasan supaya me­reka tidak terlalu bergantung pada wang yang telah dikhususkan untuk waktu persaraan,” ­katanya baru-baru ini.

Jelasnya, selain menyimpan wang persaraan menerusi ­platform KWSP, orang ramai juga perlu menyimpan wang lain bagi kegunaan waktu kecemasan.

“Walaupun dilihat sukar dan membebankan, setiap orang ­perlu menyimpan sedikit wang bagi kegunaan waktu kecemasan.

“Orang ramai perlu belajar pengurusan kewangan bagi me­ngurus kewangan harian mereka di mana budaya berjimat cermat perlu diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan terdapat lebihan wang untuk disimpan,” jelasnya.

Katanya, sikap menyimpan wang untuk kegunaan waktu ­kecemasan juga perlu disemai ­sejak di bangku sekolah bagi membolehkan generasi muda memahami tentang konsep menabung.

“Jadi, golongan kanak-kanak harus dilatih sejak awal untuk menabung, mengamalkan sikap berjimat serta tidak membazir supaya mereka lebih celik kewa­ngan apabila dewasa.

“Ia secara tidak langsung juga dapat melahirkan generasi yang mampu membentuk dana simpanan dan kecemasan, sete­rusnya tidak terlalu bergantung harap kepada sesuatu tabungan sahaja,” katanya.

SUMBER: KOSMO

Penafian

Kami bukanlah wakil mana-mana agensi kerajaan. Ini merupakan maklumat yang kami perolehi daripada website rasmi kerajaan ataupun berita. Mohon rujuk pautan asal untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap.

Maklumat yang kami sampaikan berdasarkan info semasa atau bantuan tahunan berulang.