Covid-19 telah menyebabkan ramai peniaga berada dalam keadaan terdesak. Keadaan ini berlaku kerana ekonomi yang perlahan, ditambah dengan arahan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan orang ramai sukar untuk bergerak. Nampaknya Negeri Sembilan ada tawarkan sesuatu untuk membantu rakyat mereka – terutamanya peniaga – untuk meneruskan kehidupan.
Melalui Belanjawan Negeri Sembilan 2021 yang bertemakan ‘Merangsang Ekonomi Memperkasa Rakyat’, Kerajaan Negeri Sembilan meneruskan inisiatif TUNS untuk tahun ketiga pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM3.00juta.
TUNS merupakan bantuan pembiayaan secara geran berjumlah RM3,000.00 yang disasarkan kepada Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sembilan. Objektif utama penubuhan TUNS ini adalah supaya lebih ramai golongan usahawan pada skala ini berjaya diwujudkan melalui bantuan pembiayaan ini.
Syarat Kelayakan TUNS 2021
Syarat-syarat yang dipenuhi oleh usahawan yang ingin membuat permohonan Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) adalah seperti berikut:
- Pemohon adalah Warganegara Malaysia, namun begitu keutamaan adalah diberikan kepada anak Negeri Sembilan;
- Perniagaan berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777)/ Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012/ Akta
- Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) masih sah tempoh ketika tarikh tutup permohonan dan telah beroperasi selama tempoh enam (6) bulan sebelum permohonan dibuat;
- Alamat perniagaan didaftarkan di Negeri Sembilan dan perniagaan beroperasi di Negeri Sembilan;
- Peniaga atau penjaja kecil yang mencatatkan jualan tahunan kurang daripada RM100,000.00;
- Mempunyai akaun perniagaan yang sah dan aktif dalam tempoh enam (6) bulan;
- Pemohon menjalankan perniagaan secara sepenuh masa;
- Pemohon tidak berstatus muflis; dan
- Kelayakan permohonan adalah sekali bagi tempoh lima (5) tahun.
Jenis Perniagaan Yang Layak
- Minuman dan makanan;
- Bakeri, pastri dan kuih-muih;
- Khidmat jahitan;
- Pertanian/penternakan/perikanan;
- Salon kecantikan dan gunting rambut;
- Kraf tangan dan cenderamata;
- Peruncitan;
- Fotografi; dan
- Lain-lain perkhidmatan (selain insurans, institusi kewangan dan pembekalan tenaga kerja).
Jenis Perniagaan Yang Tidak Layak
- Perkhidmatan profesional;
- Homestay;
- Jual beli barangan buangan (besi dan plastik lusuh);
- Ejen jualan produk, dropship dan Multi-Level Marketing;
- Mesin layan diri (vending machine);
- Dobi layan diri;
- Kontraktor;
- Sewaan jentera dan kenderaan penumpang mahupun perkhidmatan logistik;
- Perniagaan yang salah disisi undang-undang;
- Perniagaan yang memudaratkan kesihatan serta tidak memenuhi/mematuhi nilai-nilai moral masyarakat seperti rokok, rokok elektronik, ejen nombor ramalan, minuman keras dan lain-lain.