KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu supaya pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa 2 diagihkan awal bulan depan sebelum sambutan Aidilfitri.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah meminta Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan untuk menyegerakan perkara itu bagi memastikan golongan yang memerlukan, menerima bantuan berkenaan.
“Seperti yang disebutkan, STR fasa 1 sudah diedarkan dan sampai kepada rakyat yang berjumlah RM1.6 bilion, itu pada bulan Januari lalu.
“Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan agensi terlibat supaya meringankan mereka (golongan memerlukan) dengan bantuan STR fasa 2 yang harus diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau awal April sebelum raya.
“Kita akan keluarkan fasa dua ini untuk golongan B40 mendapat STR,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah penambahbaikan kepada STR berbanding bantuan diberikan sebelum ini.
Mengulas mengenai penambahbaikan bantuan tunai kepada rakyat, Anwar berkata, penambahbaikan itu dapat dilihat dalam Belanjawan Madani 2023 menerusi STR maksimum sehingga RM3,100 walaupun Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berjumlah RM2,500 masih diagihkan.
“(Penambahbaikan) ada perincian, isi rumah, lima anak atau tiga anak dan kadar tambahan yang penting iaitu untuk miskin tegar,tambahan RM600 berbanding peruntukan awal.
“BKM pula, ibu bapa tunggal mempunyai anak dan warga emas, RM500 untuk ibu bapa tunggal dan untuk warga emas sebanyak RM300,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan membuka permohonan baharu untuk STR.
“Setakat 13 Mac lalu, seramai 320,103 orang sudah pun mendaftar dan (mereka) yang layak, saya minta dipohon segera sebelum 31 Mac ini supaya dapat dikeluarkan dana ini pada Ramadan,” katanya.
SUMBER: Berita Harian
Penafian
Kami bukanlah wakil mana-mana agensi kerajaan. Ini merupakan maklumat yang kami perolehi daripada website rasmi kerajaan. Mohon rujuk pautan asal untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap.
Maklumat yang kami sampaikan berdasarkan info semasa atau bantuan tahunan berulang.