Pihak Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (Phisgoc) sudah bersedia menghadapi taufan dengan tiupan angin 140km/j yang dijangka akan menjejaskan beberapa venue terutamanya di Manila. Ia merupakan satu tamparan hebat kepada Phisgoc yang sebelum ini telah dikritik ekoran persiapan yang lemah tetapi keadaan semakin bertambah baik. Kali ini, ujian lebih berat kerana membabitkan soal keselamatan 10 ribu atlit dan pegawai Asia Tenggara.
“Beberapa acara gelanggang luar mungkin terpaksa ditunda atau ditangguhkan sehari ketika taufan melanda sementara acara dalam gelanggang akan diteruskan jika bekalan elektrik tidak terputus. Semua pengurus pertandingan sudah bersiap sedia dengan segala pelan kecemasan. Ia sudah disediakan lebih awal sebelum kita dimaklumkan mengenai taufan ini. Kami sudah sedia,” kata Ketua Pegawai Operasi Phisgoc, Ramon Suzara.
Situasi ini mengingatkan saya kepada Taufan Hagibis ketika Piala Dunia Ragbi di Tokyo, Jepun pada Oktober lalu. Hanya dua perlawanan yang dibatalkan sebelum pasukan Afrika Selatan muncul sebagai juara.
Cumanya, pihak keselamatan Jepun melaksanakan tugas dengan begitu baik dengan memastikan keselamatan semua pasukan yang terlibat dengan kejohanan sekaligus menjaga reputasi negara matahari terbit itu. Kali ini, cabaran yang sama bakal dihadapi oleh pihak tuan rumah iaitu Filipina. Semoga temasya edisi ke-30 kali ini berjalan dengan lancar dan tiada berlaku kemalangan jiwa.