Pasukan Tottenham telah memecat pengurusnya iaitu Mauricio Pochettino selepas lima tahun mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu. Pada musim ini Spurs dilihat menjalani permulaan yang mengecewakan dan kini sedang menghuni tangga ke-14 dalam EPL.
“Kami sangat berat hati untuk membuat perubahan ini. Ianya bukanlah satu keputusan yang mudah dibuat oleh lembaga pengurusan kelab. Ia memaksa pihak lembaga pengurusan untuk membuat satu keputusan yang sangat sukar kerana terlalu banyak memori bersama Mauricio dan staf kejurulatihan tetapi apa yang dibuat adalah untuk kepentingan kelab pada masa hadapan,” kata pengerusi Dailel Levy.
Pochettino mula dilantik pada May 2014 dan kejayaan terbesarnya adalah membawa kelab itu mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim lepas di mana mereka tewas kepada pasukan Liverpool di Madrid. Pembantu jurulatih iaitu Jesus Perez dan jurulatih lain seperti Miguel d’Agostino dan Antoni Jimenez turut meninggalkan kelab itu. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Tottenham mengatakan mereka akan mengumumkan barisan kejurulatihan baru dalam masa yang terdekat.
Bekas pengurus Southampton itu telah membimbing pasukan Tottenham layak ke UCL dalam musim pertamanya dan meletakkan pasukan itu menjadi pencabar kejuaraan EPL dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Sekalipun menamatkan musim lepas dengan rekod ke perlawanan akhir UCL dan berada di kedudukan keempat EPL, Spurs gagal untuk menjadi pasukan yang lebih baik pada musim ini.
Mereka mencatat prestasi yang buruk dalam EPL, disingkirkan oleh pasukan Colchester dalam saingan Piala Carabao serta dibelasah 7-2 oleh Bayern Munich dalam kempen UCL di stadium baharu mereka.